Thursday, October 21, 2010

Jangan Ikut Emosi Sokong Anwar

Senator Ezam Mohd Nor menyeru rakyat Malaysia terutamanya bangsa melayu yang masih menjadi pengikut setia dan menyokong Dato Seri Anwar Ibrahim supaya tidak terlalu mengikut emosi dalam menyokong setiap tindakan bekas perdana menteri berkenaan.

Beliau berkata, sudah sampai masa rakyat menilai secara rasional mengenai sikap dan moral Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat [PKR] itu terutamanya dalam kes liwat membabitkan beliau.

Ezam berkata, sikap emosional sebahagian rakyat Malaysia mempertahankan Anwar dan perjuangan peribadinya itu hanya akan melemahkan kekuatan Melayu dan boleh membawa negara ke arah kehancuran.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamed yang menafikan tanggapan sesetengah pihak mengatakan kes liwat Anwar adalah konspirasi kerajaan.

Mengulas lanjut, sebenarnya keputusan Tun Mahathir adalah sangat tegas dan tepat. Namun disebabkan terpengaruh dengan permainan emosi dan gagal menilai dengan rasional, ramai yang membantah serta mencemuh keputusan dibuat Tun Mahathir ketika memecat Anwar daripada jawatan yang disandangnya ketika itu.

“Saya sendiri antara yang menentang keputusan Tun Dr Mahathir ketika itu kerana terpengaruh dengan sandiwara dan muslihat Anwar. Kesilapan saya dan ramai rakyat ketika itu ialah kita bersifat terlalu emosional”, katanya.

Ezam berkata disebabkan sikap Anwar yang bijak mengalih perhatian dan pandai bermain kata, ramai rakyat yang tidak dapat menerima keputusan Tun Dr Mahathir.

“Sebenarnya keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2004 telah membuktikan Tun Dr Mahathir betul.... Keputusan bertulis hakim hakim jelas menunjukkan bahawa aktiviti homoseks yang didakwa, memang berlaku walaupun akhirnya terpaksa membebaskan Anwar atas sebab teknikal.”

“Keputusan itu sebenarnya yang jadi asas saya tinggalkan Anwar selepas itu. Saya tidak boleh berkompromi dengan pemimpin seperti itu. Ini soal moral dan akidah” katanya.

Jesteru beliau berkata, sudah tiba masanya untuk setiap rakyat Malaysia mengikut sikap Tun Dr Mahathir yang lebih rasional dan mengetepikan soal emosi untuk menolak pemimpin seperti itu.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu berterima kasih kepada Tun Dr Mahathir kerana dengan ketegasan dan kerasionalan tindakannya itu kini semakin ramai yang sedar permainan licik Anwar yang sanggup mengetepikan moral dan bangsa demi mencapai cita-cita peribadinya” katanya

Disiarkan Akhbar SINAR Harian 22 Oktober 2010.

Rakyat Perlu Berterima Kasih Kepada Dr Mahathir

Keputusan Tun Dr Mahathir Mohamad mengheret Dato Seri Anwar Ibrahim ke muka pengadilan atas tuduhan liwat bukan sahaja tepat malah rakyat harus berterima kasih dengan tindakan tegas yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri itu.

Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan [AMK], Senator Mohamad Ezam Mohd Nor berkata keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2004 telah membuktikan bahawa tuduhan Dr Mahathir itu adalah betul.

Menurutnya, keputusan bertulis hakim-hakim jelas bahawa terdapat aktiviti homoseksual yang didakwa walaupun terpaksa membebaskan Anwar atas sebab teknikal.

“Ya, keputusan Dr Mahathir pada masa itu tepat walaupun ia satu keputusan yang amat sukar kerana ramai rakyat tidak dapat menerima dan mencemuhnya.

“Saya sendiri antara yang menentang keputusan Dr Mahathir ketika itu kerana terpengaruh dengan sandiwara dan muslihat Anwar..” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia disini hari ini.

Semalam Dr Mahathir semasa bercakap pada forum masyarakat antarabangsa menegaskan bahawa tindakannya pada 10 tahun lepas sebagai satu yang tepat dan bukan satu konspirasi.

Sehubungan itu, Dr Mahathir mahu semua pihak berfikir sebelum membuat sebarang tuduhan apatah lagi Anwar di dalam kes terbarunya turut disabitkan dengan tuduhan yang sama.

Jesteru Mohamad Ezam menyeru kepada mereka yang masih menyokong Anwar supaya menilai secara objektif, rasional dan membuang perasaan emosional terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat [PKR] itu.

Malah tegasnya, kesilapan beliau dan ramai lagi orang ketika itu adalah kerana bersikap terlalu emosional.

“Kira mesti ikut sikap tegas Dr Mahathir dan bersikap rasional untuk menolak pemimpin seperti itu”.

“Keputusan tersebut juga sebenarnya menjadi asas kepada diri saya untuk meninggalkan Anwar, “ katanya.

Sementara itu, pakar Perlembagaan, Dr Shamrahayu A Aziz berkata tindakan Dr Mahathir mempunyai asas tersendiri kerana beliau lebih tahu apa yang berlaku ketika itu.

“Dr Mahathir seorang pemimpin berani dan buat apa yang dia kata. Tindakan mesti ada sebab dan mungkin dia tahu apa yang Anwar buat ketika itu” katanya yang juga Pensyarah Undang Undang Perlembagaan, Kuliah Undang Undang Universiti Islam Antarabangsa [UIA]

Siaran Utusan Malaysia bertarkih 20 Oktober 2010.