Saturday, November 20, 2010

Masa Depan Khalid Dalam PKR Mungkin Pudar

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan menerima nasib sama dengan beberapa pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat [PKR] sekiranya terus bersama parti itu.

Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Rakyat [AMK], Senator Ezam Mohd Nor berkata, beliau percaya, sekiranya Abdul Khalid lambat bertindak, nasib masa depan beliau dalam parti akan pudar.

"Beliau akan jadi seorang lagi mangsa korban parti selepas dilihat menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden dalam pemilihan yang berlangsung sekarang.

"Saya percaya terdapat perjanjian tertentu antara kepimpinan tertinggi parti sehingga Abdul Khalid mengambil keputusan itu.." katanya kepada Sinar Harian disini, semalam.

Ezam mengulas tindakan bekas Pengerusi PKR Wilayah persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim menarik diri secara rasmi dari parti itu berkuat kuasa 16 Disember ini.

Menurutnya, ahli PKR dan rakyat perlu sedar tentang pelbagai krisis dan pergelutan yang melanda parti berkenaan.

"Pelbagai perkara dijanjikan oleh penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada rakyat tetapi perlu disedari bahawa segala keputusannya akan memperlihatkan ke arah seorang sahaja.

"Entah apa perjanjian yang dilakukan, tapi saya hanya tahu bahawa lima individu mengetahuinya.." katanya.

Katanya, mereka yang mengetahui perkara ini selain Anwar adalah Presiden, Datin Seri Wan Azizah, calon Timbalan Presiden, Azmin Ali, isterinya Shamsidar Tahrin dan rakan rapatnya, Datuk S Nallakaruppan.

Ezam percaya, mengubah apa apa yang berlaku dalam PKR adalah terlalu sukar sehinggakan Zaid mengambil keputusan keluar parti.

" Zaid seorang yang suka berterus terang, jadi beliau begitu lantang mengkritik parti apabila menyedari terdapat sesuatau yang tidak kena dalam PKR.."

"Beliau bertindak keluar parti dan merasakan keputusannya itu adalah tepat" katanya.


Kenyataan ini disiarkan oleh akhbar Sinar Harian pada mukasurat N4, 20 November 2010.

Thursday, November 18, 2010

Zaid Tidak Boleh Terima Pembohongan

Hasrat bekas ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim untuk keluar daripada parti itu adalah kerana tidak dapat lagi menerima sikap Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang gemar berbohong.

Bekas Ketua Angkatan Muda PKR, Senator Mohamad Ezam Mohd. Nor berkata, sikap Anwar yang sering berbohong adalah bertentangan dengan sifat Zaid yang merupakan seorang yang jujur bagi memperjuangkan prinsip-prinsip keadilan dan demokrasi.

"Walaupun Zaid sendiri mempunyai beberapa masalah peribadi tetapi saya lihat pada diri beliau ada kejujuran. Sifat seperti ini tidak ada lagi dalam diri Anwar dan lain-lain pemimpin kanan PKR," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah bertajuk Keadilan Untuk Siapa? anjuran MCA Petaling Jaya Selatan di sini, malam semalam.

Dalam pada itu, Mohamad Ezam yang juga bekas Setiausaha Politik Anwar berkata, antara pembohongan yang dilakukan Penasihat PKR itu kononnya beliau ialah pejuang sistem pemberian tender projek pembangunan secara terbuka dan telus.

''Tahukah kita semua bahawa ketika Anwar menjadi Menteri Kewangan saya melihat sendiri bagaimana beliau mewujudkan Skim Kontraktor Wibawa bagi membolehkan projek diberikan secara rundingan terus dan bukannya melalui sistem tender terbuka.

"Ketika itu, Anwar telah menganugerahkan projek bernilai RM15 bilion kepada 15 syarikat yang dimiliki oleh kroni-kroni beliau dan semuanya adalah syarikat orang Melayu..."

"Jadi inilah sikap sebenar Anwar yang kini berbohong dengan membuat kenyataan retorik bahawa anak Melayu, anak Cina dan anak India semuanya adalah anak beliau," ujarnya.

Tambah Mohamad Ezam, beliau yang bersama-sama Anwar ketika mengadakan rundingan dengan pemimpin Pas bagi membentuk pakatan pembangkang mendengar sendiri janji bekas Timbalan Perdana Menteri itu bahawa beliau sudah pasti akan menubuhkan negara Islam apabila dapat menguasai Putrajaya kelak.

''Malangnya apabila mengadakan rundingan berasingan dengan pemimpin DAP, beliau membuat janji lain pula iaitu akan menentang habis-habisan rancangan mewujudkan negara Islam," katanya.

Kenyataan disiarkan oleh Utusan Malaysia bertarikh 18 November 2010,
untuk bacaan secara Online, sila klik sini