Saturday, November 20, 2010

Masa Depan Khalid Dalam PKR Mungkin Pudar

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan menerima nasib sama dengan beberapa pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat [PKR] sekiranya terus bersama parti itu.

Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Rakyat [AMK], Senator Ezam Mohd Nor berkata, beliau percaya, sekiranya Abdul Khalid lambat bertindak, nasib masa depan beliau dalam parti akan pudar.

"Beliau akan jadi seorang lagi mangsa korban parti selepas dilihat menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden dalam pemilihan yang berlangsung sekarang.

"Saya percaya terdapat perjanjian tertentu antara kepimpinan tertinggi parti sehingga Abdul Khalid mengambil keputusan itu.." katanya kepada Sinar Harian disini, semalam.

Ezam mengulas tindakan bekas Pengerusi PKR Wilayah persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim menarik diri secara rasmi dari parti itu berkuat kuasa 16 Disember ini.

Menurutnya, ahli PKR dan rakyat perlu sedar tentang pelbagai krisis dan pergelutan yang melanda parti berkenaan.

"Pelbagai perkara dijanjikan oleh penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada rakyat tetapi perlu disedari bahawa segala keputusannya akan memperlihatkan ke arah seorang sahaja.

"Entah apa perjanjian yang dilakukan, tapi saya hanya tahu bahawa lima individu mengetahuinya.." katanya.

Katanya, mereka yang mengetahui perkara ini selain Anwar adalah Presiden, Datin Seri Wan Azizah, calon Timbalan Presiden, Azmin Ali, isterinya Shamsidar Tahrin dan rakan rapatnya, Datuk S Nallakaruppan.

Ezam percaya, mengubah apa apa yang berlaku dalam PKR adalah terlalu sukar sehinggakan Zaid mengambil keputusan keluar parti.

" Zaid seorang yang suka berterus terang, jadi beliau begitu lantang mengkritik parti apabila menyedari terdapat sesuatau yang tidak kena dalam PKR.."

"Beliau bertindak keluar parti dan merasakan keputusannya itu adalah tepat" katanya.


Kenyataan ini disiarkan oleh akhbar Sinar Harian pada mukasurat N4, 20 November 2010.

Thursday, November 18, 2010

Zaid Tidak Boleh Terima Pembohongan

Hasrat bekas ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim untuk keluar daripada parti itu adalah kerana tidak dapat lagi menerima sikap Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang gemar berbohong.

Bekas Ketua Angkatan Muda PKR, Senator Mohamad Ezam Mohd. Nor berkata, sikap Anwar yang sering berbohong adalah bertentangan dengan sifat Zaid yang merupakan seorang yang jujur bagi memperjuangkan prinsip-prinsip keadilan dan demokrasi.

"Walaupun Zaid sendiri mempunyai beberapa masalah peribadi tetapi saya lihat pada diri beliau ada kejujuran. Sifat seperti ini tidak ada lagi dalam diri Anwar dan lain-lain pemimpin kanan PKR," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah bertajuk Keadilan Untuk Siapa? anjuran MCA Petaling Jaya Selatan di sini, malam semalam.

Dalam pada itu, Mohamad Ezam yang juga bekas Setiausaha Politik Anwar berkata, antara pembohongan yang dilakukan Penasihat PKR itu kononnya beliau ialah pejuang sistem pemberian tender projek pembangunan secara terbuka dan telus.

''Tahukah kita semua bahawa ketika Anwar menjadi Menteri Kewangan saya melihat sendiri bagaimana beliau mewujudkan Skim Kontraktor Wibawa bagi membolehkan projek diberikan secara rundingan terus dan bukannya melalui sistem tender terbuka.

"Ketika itu, Anwar telah menganugerahkan projek bernilai RM15 bilion kepada 15 syarikat yang dimiliki oleh kroni-kroni beliau dan semuanya adalah syarikat orang Melayu..."

"Jadi inilah sikap sebenar Anwar yang kini berbohong dengan membuat kenyataan retorik bahawa anak Melayu, anak Cina dan anak India semuanya adalah anak beliau," ujarnya.

Tambah Mohamad Ezam, beliau yang bersama-sama Anwar ketika mengadakan rundingan dengan pemimpin Pas bagi membentuk pakatan pembangkang mendengar sendiri janji bekas Timbalan Perdana Menteri itu bahawa beliau sudah pasti akan menubuhkan negara Islam apabila dapat menguasai Putrajaya kelak.

''Malangnya apabila mengadakan rundingan berasingan dengan pemimpin DAP, beliau membuat janji lain pula iaitu akan menentang habis-habisan rancangan mewujudkan negara Islam," katanya.

Kenyataan disiarkan oleh Utusan Malaysia bertarikh 18 November 2010,
untuk bacaan secara Online, sila klik sini

Thursday, October 21, 2010

Jangan Ikut Emosi Sokong Anwar

Senator Ezam Mohd Nor menyeru rakyat Malaysia terutamanya bangsa melayu yang masih menjadi pengikut setia dan menyokong Dato Seri Anwar Ibrahim supaya tidak terlalu mengikut emosi dalam menyokong setiap tindakan bekas perdana menteri berkenaan.

Beliau berkata, sudah sampai masa rakyat menilai secara rasional mengenai sikap dan moral Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat [PKR] itu terutamanya dalam kes liwat membabitkan beliau.

Ezam berkata, sikap emosional sebahagian rakyat Malaysia mempertahankan Anwar dan perjuangan peribadinya itu hanya akan melemahkan kekuatan Melayu dan boleh membawa negara ke arah kehancuran.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamed yang menafikan tanggapan sesetengah pihak mengatakan kes liwat Anwar adalah konspirasi kerajaan.

Mengulas lanjut, sebenarnya keputusan Tun Mahathir adalah sangat tegas dan tepat. Namun disebabkan terpengaruh dengan permainan emosi dan gagal menilai dengan rasional, ramai yang membantah serta mencemuh keputusan dibuat Tun Mahathir ketika memecat Anwar daripada jawatan yang disandangnya ketika itu.

“Saya sendiri antara yang menentang keputusan Tun Dr Mahathir ketika itu kerana terpengaruh dengan sandiwara dan muslihat Anwar. Kesilapan saya dan ramai rakyat ketika itu ialah kita bersifat terlalu emosional”, katanya.

Ezam berkata disebabkan sikap Anwar yang bijak mengalih perhatian dan pandai bermain kata, ramai rakyat yang tidak dapat menerima keputusan Tun Dr Mahathir.

“Sebenarnya keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2004 telah membuktikan Tun Dr Mahathir betul.... Keputusan bertulis hakim hakim jelas menunjukkan bahawa aktiviti homoseks yang didakwa, memang berlaku walaupun akhirnya terpaksa membebaskan Anwar atas sebab teknikal.”

“Keputusan itu sebenarnya yang jadi asas saya tinggalkan Anwar selepas itu. Saya tidak boleh berkompromi dengan pemimpin seperti itu. Ini soal moral dan akidah” katanya.

Jesteru beliau berkata, sudah tiba masanya untuk setiap rakyat Malaysia mengikut sikap Tun Dr Mahathir yang lebih rasional dan mengetepikan soal emosi untuk menolak pemimpin seperti itu.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu berterima kasih kepada Tun Dr Mahathir kerana dengan ketegasan dan kerasionalan tindakannya itu kini semakin ramai yang sedar permainan licik Anwar yang sanggup mengetepikan moral dan bangsa demi mencapai cita-cita peribadinya” katanya

Disiarkan Akhbar SINAR Harian 22 Oktober 2010.

Rakyat Perlu Berterima Kasih Kepada Dr Mahathir

Keputusan Tun Dr Mahathir Mohamad mengheret Dato Seri Anwar Ibrahim ke muka pengadilan atas tuduhan liwat bukan sahaja tepat malah rakyat harus berterima kasih dengan tindakan tegas yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri itu.

Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan [AMK], Senator Mohamad Ezam Mohd Nor berkata keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2004 telah membuktikan bahawa tuduhan Dr Mahathir itu adalah betul.

Menurutnya, keputusan bertulis hakim-hakim jelas bahawa terdapat aktiviti homoseksual yang didakwa walaupun terpaksa membebaskan Anwar atas sebab teknikal.

“Ya, keputusan Dr Mahathir pada masa itu tepat walaupun ia satu keputusan yang amat sukar kerana ramai rakyat tidak dapat menerima dan mencemuhnya.

“Saya sendiri antara yang menentang keputusan Dr Mahathir ketika itu kerana terpengaruh dengan sandiwara dan muslihat Anwar..” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia disini hari ini.

Semalam Dr Mahathir semasa bercakap pada forum masyarakat antarabangsa menegaskan bahawa tindakannya pada 10 tahun lepas sebagai satu yang tepat dan bukan satu konspirasi.

Sehubungan itu, Dr Mahathir mahu semua pihak berfikir sebelum membuat sebarang tuduhan apatah lagi Anwar di dalam kes terbarunya turut disabitkan dengan tuduhan yang sama.

Jesteru Mohamad Ezam menyeru kepada mereka yang masih menyokong Anwar supaya menilai secara objektif, rasional dan membuang perasaan emosional terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat [PKR] itu.

Malah tegasnya, kesilapan beliau dan ramai lagi orang ketika itu adalah kerana bersikap terlalu emosional.

“Kira mesti ikut sikap tegas Dr Mahathir dan bersikap rasional untuk menolak pemimpin seperti itu”.

“Keputusan tersebut juga sebenarnya menjadi asas kepada diri saya untuk meninggalkan Anwar, “ katanya.

Sementara itu, pakar Perlembagaan, Dr Shamrahayu A Aziz berkata tindakan Dr Mahathir mempunyai asas tersendiri kerana beliau lebih tahu apa yang berlaku ketika itu.

“Dr Mahathir seorang pemimpin berani dan buat apa yang dia kata. Tindakan mesti ada sebab dan mungkin dia tahu apa yang Anwar buat ketika itu” katanya yang juga Pensyarah Undang Undang Perlembagaan, Kuliah Undang Undang Universiti Islam Antarabangsa [UIA]

Siaran Utusan Malaysia bertarkih 20 Oktober 2010.

Monday, August 2, 2010

isytihar harta - langkah reform yg seharusnya disokong

1. Ketua Pesuruhjaya SPRM telah menyatakan baru2 ini pandangan beliau agar menteri kabinet dan pemimpin kerajaan mengisytiharkan harta mereka kepada umum didalam usaha memperkukuh langkah reform melawan gejala rasuah di negara ini.

2.Berbagai reaksi timbul berikutan kenyataan Pesuruhjaya SPRM itu yang pada hemat saya jujur dan berani didalam cita2 membanteras rasuah di negara ini.

3.Saya sokong dan amat bersetuju dengan pandangan beliau dan percaya ianya satu langkah ke arah pemantapan reform yang signifikan di negara ini.

4.Namun saya merasakan keperluan menumpukan tumpuan kepada memantapkan imej SPRM di mata rakyat terlebih dahulu sebelum langkah baru dilakukan.

5.Kredibilti SPRM merupakan prasayarat utama didalam menjayakan sebarang langkah berani mempertingkatkan usaha reform dinegara ini dan kita sedia maklum imej SPRM tercalar akibat serangan yang sengaja dilakukan oleh anasir anti kerajaan yang melaungkan reform palsu.

6.Justeru saya merasakan keperluan untuk fokus mempertingkat imej dan kredibiliti SPRM buat masa ini dan hanya setelah kredibiliti dipulihkan sepenuhnya langkah2 lain di lakukan termasuk langkah perisytiharan harta kepada umum.

7.Namun saya ingin ulangi sokongan terhadap cadangan Pesuruhjaya SPRM dan mengucapkan syabas atas cadangan jujur dan berani beliau.