Friday, March 18, 2011

“Kasus Pak Anwar, Kasus Jenayah” Ezam beritahu NGO Indonesia

Kes mahkamah yang melibatkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah kes jenayah bukan kes politik, kata Senator Mohd Ezam Mohd Nor dalam satu pertemuan dengan pemimpin NGO-NGO Indonesia di Kuala Lumpur Selasa.

Ezam menegaskan, kerajaan tidak ada pilihan kecuali mendakwa Anwar berikutan laporan polis yang dibuat oleh pekerja beliau sendiri berserta dengan bukti-bukti.

“Saya sendiri pernah menjadi setiausaha politik Pak Anwar, pernah membela beliau sehingga dihukum penjara, tetapi setelah saya selidiki, saya tinggalkan Anwar,” katanya.


Dalam pertemuan yang turut dihadiri Ketua Pengarang ANTARA Saiful Hadi itu, Ezam menegaskan bahawa di Malaysia, sodomi merupakan satu jenayah.

“Mungkin di Barat sodomi bukan jenayah, tetapi di Malaysia ia merupakan satu jenayah dan orang yang dituduh atas perbuatan tersebut perlu berdepan tindakan undang-undang,”katanya.

Menurut Ezam, hubungan Malaysia dan Indonesia sebagai negara bersaudara yang berkongsi agama, budaya, bahasa perlu terus ke depan.

“Di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak saya percaya hubungan antara dua negara akan terus dipereratkan lagi,”ujarnya.

Diskusi tersebut dianjurkan untuk NGO kedua-dua negara bertukar pandangan mengenai isu-isu yang melibatkan hubungan langsung Malaysia-Indonesia.

Sementara itu, Ketua Umum Pemuda Muhammadiyah Dr Saleh P Daulay dalam majlis yang sama mahu NGO-NGO Indonesia supaya lebih tegas dengan anggota mereka yang terlibat dalam demonstrasi anti Malaysia.

“Di sini kita ada wakil Nahdatul Ulama, Gerakan Pemuda Ansor, Pelajar Islam Indonesia, Himpunan Mahasiswa Islam, ini semuanya selalu ke jalanraya ini (demonstrasi) apa kiranya kita ambil kesepakatan di sini selepas ini jika keadaan memanas antara Indonesia dan Malaysia, kita menjadi bentang mempertahankan kerukunan dua negara,”kata beliau disambut laungan sokongan dari mereka yang hadir.

Nada yang sama turut disuarakan oleh Ketua Umum Himpunan Mahasiswa Islam Indonesia Muhamad Makmur yang mencadangkan satu ‘task force’ antara NGO kedua negara bagi mendepani masalah bersama.

“Kita perlu gerakkan secepat mungkin, biar ia menjadi kenyataan, jangan hanya diskusi sahaja, mari kita terjemahkan dalam bentuk tindakan,”katanya.

Selain wakil NGO-NGO Islam turut serta adalah termasuk Persatuan Wartawan Indonesia dan beberapa agensi media republik tersebut.

Turut mengambil bahagian dalam diskusi tersebut adalah Ketua Penerangan Perkasa Ruslan Kassim, Pengerusi Gagasan Anti Penyelewengan Selangor [GAPS] Hamidzun Khairuddin, dan aktivis masyarakat Hamdan Taha.- 16/3/2011 disiarkan oleh Agendaidaily

Tuesday, February 1, 2011

Suasana Lapangan Terbang Kaherah Seperti Perang

Kerajaan digesa bertindak segera membawa pulang penuntut Malaysia di Mesir sebelum keadaan dinegara itu bertambah serius.

Suasana pergolakan semakin tidak terkawal, dan tindakan merencatkan penggunaan internet, terutama jaringan media sosial seperti Facebook dan Twitter dikatakan lebih memburukkan keadaan apabila sistem komunikasi boleh lumpuh bila bila masa.

Senator Mohamad Ezam Mohd Nor kini berada di Mesir ketika menghubungi Sinar Harian menerusi khdmat pesanan ringkas [SMS] berkata, tindakan membawa pulang semua rakyat Malaysia perlu disegerakan kerana hari ini [semalam] Kerajaan Amerika Syarikat [AS] sudah bertindak membawa keluar rakyatnya dari negara itu.

"walaupun keadaan penuntut Malaysia terkawal, namun situasi dijangka semakin buruk, terutama apabila AS sudah membawa pulang rakyatnya pulang hari ini [semalam], " katanya.

Menurutnya, suasana di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah seperti dalam keadaan perang, orang ramai berebut pulang ke tanahair masing masing.

"saya sendiri terkandas dua hari disini bersama ribuan penuntut kita [Malaysia]," katanya menghadiri beberapa siri program bersama penuntut Malaysia disana.

Difahamkan, hampir 11,000 penuntut Malaysia di Mesir

[Akhbar Sinar Harian, 1 Februari 2011 - mukasurat N8]

Tuesday, December 21, 2010

Majlis Pelancaran Buku “Islam & Persolan Rasuah” Berjalan Lancar


Seperti dijadualkan, pada 20 Disember 2010, bersamaan 14 Muharam 1432h, bertempat di Banquet Hall Parlimen, majlis pelancaran buku berjudul “ Islam & Persoalan Rasuah” telah selamat disempurnakan oleh Tan Sri Abu Zahar Ujang, Speaker Dewan Negara.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah juga turut hadir sebagai tetamu di meja VVIP.

Yb Senator Ezam sedang menyampaikan kata kata aluan….

Sapto Waluyo, co-writer buku “Islam & Persoalan Rasuah”. Sapto lulusan MSc S Rajaratnam of International Studies, Singapura, sekarang ini beliau adalah Penasihat di Kementerian Sosial, Indonesia serta Ketua Redaksi Jurnal Policy Review terbitan Centre for Indonesian Reform [CIR]

Dalam ucapan Sapto, beliau berpendapat bahawa, amalan korupsi lebih bahaya daripada bencana alam. Gejala korupsi yang melibatkan nilai wang yang besar tidak nampak jalan penyelesaian yang “affirmative”. Berbanding dengan bencana alam dimana kerja kerja seperti evakuasi dan pembangunan semula bisa diurus tadbir dengan dana yang mencukupi….

Sapto juga sempat berseloroh mencuit hadirin tetamu majlis dengan berkata “ Malaysia akan bertemu Indonesia dalam final bolasepak Piala AFF sedikit masa lagi, bermakna kita perlu bersaing…, tetapi dalam soal melawan gejala rasuah dan korupsi, ayuh kita bergandingan bersama menanganinya…”

Tan Sri Abu Zahar Ujang, Speaker Dewan Negara sempat meluangkan waktu merasmikan Pelancaran Buku “Islam & Persoalan Rasuah” walaupun sidang dewan sedang berlangsung….

Rakaman Sekitar Majlis Perasmian Buku “Islam & Persoalan Rasuah” ;


Monday, December 13, 2010

Jelaskan 'Hubungan' Dengan Shamsidar - Ezam [Utusan Malaysia 13 Disember 2010]

KUALA LUMPUR 12 Dis. - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dicabar supaya menjelaskan kenyataan bekas rakan karibnya, Datuk S. Nallakarupan mengenai 'hubungannya' dengan isteri Timbalan Presiden PKR, Shamsidar Taharin.

Ahli Dewan Negara, Senator Mohamad Ezam Mohd. Noor berkata, kenyataan Nallakaruppan itu memberi pelbagai konotasi terhadap Anwar serta Shamsidar.

"Ini bukan kenyataan main-main, ini perkara sensitif yang perlu dijelaskan oleh Anwar.

"Kalau kenyataan Nallakarupan itu salah, saya cabar Anwar, Shamsidar dan (Timbalan Presiden PKR) Azmin Ali supaya saman Nallakarupan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berceramah pada program Selamatkan Selangor Darul Ehsan (SSDE) di Bangi dekat sini, semalam.

Ezam mengulas kenyataan Nallakarupan seperti laporan Utusan Malaysia semalam yang meminta Shamsidar menjelaskan perlakuan sebenar suaminya dan Anwar bagi menyelamatkan rakyat daripada ditipu.

Menurut Nallakarupan, Shamsidar mempunyai pengetahuan luas mengenai Anwar kerana kedua-duanya mempunyai hubungan amat rapat suatu ketika dahulu.

Mengulas lanjut, Mohamad Ezam yang juga bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) menjelaskan, beliau menentang Anwar bukan kerana 'perhitungan peribadi' tetapi demi prinsip dan keamanan negara.

Menurutnya, usaha Anwar serta pembangkang yang mempolitikkan segala isu termasuk masalah air di Selangor melalui demonstrasi jalanan adalah satu perbuatan yang hipokrit.

"Sebagai Penasihat Ekonomi Selangor, Anwar dan kerajaan negeri sepatutnya menyelesaikan segala isu berkaitan air melalui saluran formal seperti mesyuarat dengan Kerajaan Persekutuan, bukan huru-hara demonstrasi.

"Walhal, ketika Anwar jadi Menteri Kewangan dulu dia langsung tidak memberikan satu sen pun daripada RM600 juta yang dimohon Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk rawatan air di Kelantan.

"Anwar juga memberitahu enggan memberi bantuan itu kerana mahu 'mengajar' kerajaan Pas negeri, memang dia mempolitikkan isu air.

"Tapi selepas dia (Anwar) disingkirkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 1998, Dr. Mahathir terus meluluskan peruntukan RM600 juta buat Kelantan kerana kerajaan Barisan Nasional tidak mempolitikkan isu air dan ikhlas membantu, kalau saya tipu, samanlah saya," cabarnya.

Baca Utusan Online

Saturday, November 20, 2010

Masa Depan Khalid Dalam PKR Mungkin Pudar

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan menerima nasib sama dengan beberapa pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat [PKR] sekiranya terus bersama parti itu.

Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Rakyat [AMK], Senator Ezam Mohd Nor berkata, beliau percaya, sekiranya Abdul Khalid lambat bertindak, nasib masa depan beliau dalam parti akan pudar.

"Beliau akan jadi seorang lagi mangsa korban parti selepas dilihat menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden dalam pemilihan yang berlangsung sekarang.

"Saya percaya terdapat perjanjian tertentu antara kepimpinan tertinggi parti sehingga Abdul Khalid mengambil keputusan itu.." katanya kepada Sinar Harian disini, semalam.

Ezam mengulas tindakan bekas Pengerusi PKR Wilayah persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim menarik diri secara rasmi dari parti itu berkuat kuasa 16 Disember ini.

Menurutnya, ahli PKR dan rakyat perlu sedar tentang pelbagai krisis dan pergelutan yang melanda parti berkenaan.

"Pelbagai perkara dijanjikan oleh penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada rakyat tetapi perlu disedari bahawa segala keputusannya akan memperlihatkan ke arah seorang sahaja.

"Entah apa perjanjian yang dilakukan, tapi saya hanya tahu bahawa lima individu mengetahuinya.." katanya.

Katanya, mereka yang mengetahui perkara ini selain Anwar adalah Presiden, Datin Seri Wan Azizah, calon Timbalan Presiden, Azmin Ali, isterinya Shamsidar Tahrin dan rakan rapatnya, Datuk S Nallakaruppan.

Ezam percaya, mengubah apa apa yang berlaku dalam PKR adalah terlalu sukar sehinggakan Zaid mengambil keputusan keluar parti.

" Zaid seorang yang suka berterus terang, jadi beliau begitu lantang mengkritik parti apabila menyedari terdapat sesuatau yang tidak kena dalam PKR.."

"Beliau bertindak keluar parti dan merasakan keputusannya itu adalah tepat" katanya.


Kenyataan ini disiarkan oleh akhbar Sinar Harian pada mukasurat N4, 20 November 2010.